JANGAN MALAS
Kata pakar wanita, untuk cantik wanita tidak boleh sesekali bersikap malas terutamanya dalam aspek penjagaan kulit wajah.
"Siapa kata mudah untuk mengekalkan kecantikan, semuanya perlu pengorbanan dan disiplin. Paling asas ialah mencuci wajah menggunakan pembersih sesuai dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam.
"Gunakan pembersih wajah yang sesuai dengan kulit bukannya menggunakan produk tiga dalam satu atau sebarang produk kecantikan segera," katanya.
Menurutnya, langkah paling tepat adalah bertemu dengan pakar kecantikan bagi mengetahui jenis dan masalah kulit wajah sekali gus tahu mengenai cara mengatasinya.
"Saya akan pastikan setiap produk penjagaan wajah atau diri yang saya gunakan tidak mengandungi bahan kimia terlarang yang mendatangkan bahaya.
"Disebabkan itu saya katakan, jika mahu cantik perlu disiplin dan bersabar. Jangan sesekali percaya produk kecantikan yang mendakwa mampu memberi kesan pantas kerana bimbang ia mengandungi bahan terlarang," ujarnya.
Diana berkata, pokok pangkalnya adalah diri sendiri kerana dia yakin dengan kesabaran serta usaha sesiapa saja mampu mendapatkan kecantikan diinginkan.
"Setiap hari saya sentiasa sibuk dengan pelbagai tuntutan tugas namun saya tetap disiplinkan diri dan pastikan akan mencuci wajah sebelum tidur. Tidak bolehlah menganggap usia sudah meningkat dan anda tidak lagi perlu berhias cantik kerana kecantikan itu tidak mengira usia.
"Memandangkan saya juga bekerja dalam bidang kecantikan membuatkan saya perlu sentiasa tampil menarik. Malah, saya juga memastikan imej diri sentiasa terjaga," katanya.
Dia turut berkongsi tips yang dilakukannya setiap hari demi mendapatkan wajah cantik menawan dan badan yang langsing:
- Untuk wanita yang berusia 30 tahun ke atas, pakailah serum atau pelembap yang sesuai. Jangan lupa untuk memakai krim tabir suria setiap hari walaupun berada di rumah.
- Perlu mencuci wajah pagi dan malam setiap hari. Jangan sekali-kali tidur dengan keadaan muka masih bersolek.
- Jangan tinggal krim malam kerana ia membantu sel kulit bertindak ketika kita sedang tidur.
- Rajinkan diri melakukan rawatan wajah di tempat sesuai dan diiktiraf. Diingatkan jangan melakukan rawatan pengelupasan atau laser tanpa keperluan.
- Gunakan produk penjagaan wajah yang sesuai dengan kulit.
- Jaga pemakanan harian, banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Kurangkan makanan kudapan.
- Hidup dengan gembira dan baik dengan semua orang. Hati yang tenang mampu menyerlahkan lagi kecantikan diri.